Showing posts with label malaysia. Show all posts
Showing posts with label malaysia. Show all posts

21.8.10

melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

-Usman Awang-

21.11.09

10.11.09

Tuntutan Ini Adalah Bermoral, Tuntutan Itu tidak Bermoral ?!!@# f $%k% T

"Memanda Menteri usul kepada Raja Tempoyak Patin" katanya,

Ampun Tuanku Raja Tempoyak Patin, Patik memohon sembah kebawah duli Tuanku, izinkan patik usul buah akal patik yang lagi bijaksana ini Tuanku.

Memanda Menteri, Bendahara, dan Tok Penghulu di seluruh negeri dan daerah-daerah jajahan Raja Tempoyak Patin memohon kenaikan upah demi untuk mengelak daripada tekanan belanjawan defisit hidup harian mereka. Kata mereka pada Tuanku bahawa ini untuk meningkatkan mutu kerja mereka supaya sentiasa berkhidmat pada sekalian rakyat Tuanku dengan sepenuh hati. Tiada alpa akan kebajikan rakyat seluruh negeri dan daerah-daerah jajahan Tuanku. Tuanku pun sedia maklum, korupsi juga semakin tidak terkawal akhir-akhir ini. Pada pengamatan patik, tuntutan ini bermoral Tuanku.

Adapun tuntutan kenaikan upah Tukang Sapu kelas satu dan dua, Tukang Kipas kelas satu dan dua, Tukang Cuci kelas satu dan dua serta Tukang Angkut Najis kelas satu dan dua termasuklah lain-lain pekerja Istana Tuanku Raja Tempoyak Patin sebelum ini terpaksa Patik tolak diatas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan Tuanku. Semua telah sedia maklum, bahawa negeri dibawah jajahan Tuanku telah mengalami kemarau yang panjang hampir dua musim. Pada hemat patik yang bijaksana ini Tuanku, tuntutan pekerja kelas satu dan dua ini "tidak bermoral" Tuanku!

Semua padi-padi emas yang benihnya diperolehi hasil daripada kajian penyelidikan dan pembangunan oleh bijak-bijak pandai petani Tuanku tidak tumbuh semuanya. Disebabkan masalah itu, semua syarikat konsesi pembekal benih-benih padi emas Tuanku menuntut ganti rugi kerana semaian tidak dapat dilakukan. Maka ganti rugi terpaksa dibayar melalui perbendaharaan Istana Tuanku Raja Tempoyak Patin. Disebabkan tuntutan syarikat konsesi benih padi emas berkenaan, simpanan dalam perbendaharaan Tuanku hampir mengalami defisit.

Kesemua pekerja di petak sawah Tuanku kini hanya menganggur dirumah sahaja sambil mengisi masa lapang mereka dengan hobi yang baru iaitu ketagih daun ketum. Jika dahulu Tuanku bagi percuma sahaja petak-petak sawah ini untuk diusahakan, tetapi selepas pengumuman oleh Patik selepas diarahkan oleh Tuanku mengenai bayaran sebanyak 50 keping wang tembaga akan dikenakan untuk setiap petak-petak yang dimiliki oleh petani berkenaan pada musim akan datang, ramai petani merungut akan bayaran tambahan untuk musim akan datang itu, sedangkan petak-petak sawah berkenaan tidak dapat diusahakan dan tiada hasil.

Jelas mereka lagi Tuanku, ini ditambah pula pengumuman mengejut oleh Tuanku berkenaan usia kerbau yang digunakan dipetak sawah berkenaan. Dimana, jika usia kerbau-kerbau yang digunakan sudah terlalu tua iaitu melebihi usia 15 tahun, maka hendaklah kerbau-kerbau yang lanjut usia berkenaan menghadiri pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh di Pusat-pusat Jagaan Haiwan dan Mergas Tua yang diberi tauliah oleh Istana Tuanku Raja Tempoyak Patin bagi mendapatkan sijil layak menjalankan kerja dipetak sawah itu. Pada pengamatan Patik, para petani sawah petak kini semakin berani membuat tuntutan yang tidak munasabah sesuai dengan keadaan semasa sekarang Tuanku!

Hasil kutipan cukai juga susut sejak akhir musim ini Tuanku. Hendak dijadikan cerita pula, kapal Laksamana yang baru pulang berlayar daripada Pulau Batu Satu mengalami kebakaran. Diberitakan bahawa ianya dibakar oleh anak-anak kapal kerana membantah arahan cuti tanpa gaji sepanjang berada di daratan oleh Laksamana, tetapi masih dalam siasatan lanjut dan sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menyiasat tentang kebakaran ini. Keputusan hasil siasatan akan keluar dalam masa 2 bulan Tuanku.

Adapun Tuanku, Patik difahamkan oleh Laksamana bahawa kapal berkenaan sudah berusia dan tidak selesa lagi untuk membuat pelayaran jauh-jauh. Difahamkan juga bahawa kapal berkenaan sudah ketinggalan jauh dari segi peralatan yang digunakan. Malah kain-kain layar sudah banyak yang koyak dan tidak terjahit oleh tukang-tukang jahit kain layar kapal berkenaan. Kapal-kapal yang terkini sudah tidak menggunakan navigasi kompas analog, tetapi ia dilengkapi peralatan-peralatan navigasi digital seperti alat satelit pemancar GPS (Sistem Kedudukan Global). Jika diperkenan oleh pihak Istana Tuanku Raja Tempoyak Patin untuk menolak sahaja tuntutan "Tidak Bermoral" pekerja Istana itu, Patik rasa molek benar Tuanku. Wang yang diperuntukan untuk memenuhi tuntutan kenaikan upah pekerja-pekerja kelas satu dan dua istana ini boleh digunakan untuk membeli kapal Tuanku. Ini juga merupakan satu pelaburan serampang dua mata Tuanku.

Aadapun maksud serampang dua mata begini Tuanku. Pembelian kapal untuk Laksamana adalah satu lambang kekuatan pertahanan bagi negeri-negeri jajahan Tuanku jua. Yang dikatakan pelaburan itu tersirat jua tuanku, tetapi yang tersurat itu sudah jelaslah bagi Tuanku. Begini Tuanku, dengan pembelian kapal yang baru ini, Tuanku boleh memohon komisen ihsan daripada pembekal kapal itu. Pembekal kapal berkenaan sudah sedia maklum Tuanku akan cara ini.

Patik menyokong sepenuhnya Tuanku,

Jelaslah bahawa,

"Tuntutan kenaikan upah oleh Memanda Menteri, Bendahara dan Tok Penghulu adalah BERMORAL" dan...

"Tuntutan kenaikan upah oleh Kesatuan Pekerja Kelas Satu dan Dua Istana adalah TIDAK BERMORAL"

31.10.09

apabila orang yang jahil bertelagah, orang yang berilmu merungkai masalah...

Sambil minum-minum petang, sesekali tajam mata terarah kepada susunan buku diatas meja yang tidak terurus. Ahh..nantilah aku kemaskan posisi-posisi buku berkenaan biar ia kemas semacam di perpustakaan. Sememangnya aku sibuk sejak seminggu dua ini, banyak juga yang hendak diperbetulkan tesis tahun akhir aku ini. Setelah dihantar ke kedai toko buku untuk dijilid, aku tidak mahu memikirkannya lagi. Biar sahaja mereka menyelesaikan kerja-kerja menjilid mereka itu. Yang aku tahu, sampai masa yang dijanjikan aku ambil sahaja. Setelah diperhalusi, semamangnya ilusi pada paparan komputer aku ini adalah tidak benar setelah ianya dipaparkan secara realiti....berbeza sekali.

Hasilnya banyak kertas berkuailti tinggi 80 gm hanya terbuang begitu sahaja. Ya...yang berselerakan diatas meja itu bukanlah disebabkan buku-buku itu, tetapi kertas terpakai berkualiti tinggi 80 gm itu sebenarnya. Nah..lihatlah bagaimana buku-buku itu menjadi mangsa kepada keadaan. Hmm...begitulah bagaiman mata memandang sesuatu perkara, melihatnya hanya melalui mata yang titipannya tidak sampai kepada qalbu...hah begitulah hasilnya.

Bertelagah merungkai masalah dilihat dari persepsi dua kelompok yang berbeza. Satu bertelagah merungkai masalah bersandarkan pada ilmu dan aqal, dan satu lagi berpandukan emosi dan nafsu semata-mata. Hasilnya tentulah amat berbeza sekali. Keberkatan tentulah berpihak kepada ungkaian yang bersandarkan kepada ilmu dan aqal. Perselisihan didalam jemaah juga penting dalam merungkai kembali dasar sesuatu dakwah supaya biar ianya jelas, kadang-kadang kita alpa...ya dikatakan manusia itu sentiasa alpa, pada masa yang sama ada pihak yang ingat-mengingatkan. Ada hikmahnya yang perlu diperhalusi, biduk lalu kiambang bertaut jua.

Berbeza sekali dengan orang-orang yang jahil menyelesaikan masalah, ianya semata-mata hanya berpaksikan kepada nafsu dan emosi semata. Yang ditegakkan bukan kebenaran hakiki, tetapi benang yang basah. Lantas apa hikmahnya disitu? tetapi hanya sekadar ilusi yang cuba di realiti. Tidak kemana-mana hasilnya dan juga tidak ada apa-apa, hanya tin kosong. Yang ada hanya pengikut-pengikut setianya yang ketandusan laba mengharap balasan material. Sudah terbiasa begitu oleh tuan-tuannya..bicara hatiku. Boleh juga aku ertikan seperti anjing yang diajar oleh tuannya memakan tahi, kedepan hari tentunya anjing itu terbiasa mencari tahi juga untuk dimakan.

Begitulah " apabila orang jahil bertelagah, orang berilmu merungkai masalah.." Hati kecilku berbicara , ada perbezaannya.titik